Dunia sukan bola sepak
Malaysia baru-baru ni gempar dengan menularnya kembali budaya rasuah dan
menjual permainan yang pernah berlaku lebih kurang 15 tahun yang lepas. Bukan
calang-calang pasukan yang terlibat kali ni. Pasukan yang banyak kali kalahkan
pasukan kegemaran aku, Selangor. Tergamak depa ni menghampakan peminat-peminat
pasukan bola sepak mereka tu. Aku pun malas la nak komen lebih-lebih. Dikatakan
semuanya berpunca dari gaji bulanan yang sangat rendah. RM1000 je sebulan. Bagi
aku, memang rendah sangat gaji tu memandangkan depa ni memang bermain untuk
pasukan bola sepak profesional. Kasihan juga. Tapi kalau masih ada iman di
dada, insyaAllah takkan jadi jenayah rasuah macam ni. Ternyata berita ini telah
menconteng arang di muka maruah bola sepak di Malaysia. Baca berita perincian
tentang sebab pasukan bola sepak di Malaysia boleh merasuah.
KUALA LUMPUR 7 Jun –
Gaji bulanan yang rendah tanpa sebarang imbuhan tambahan dipercayai menjadi
punca utama pemain-pemain skuad bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan dan
T-Team menerima suapan untuk menampung kos sara hidup mereka.
Setiap pemain skuad itu
dikatakan hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,000, dan dengan
jadual latihan yang padat, mereka tidak berpeluang melakukan kerja sampingan.
Menurut sumber, tidak hairanlah, nilai suapan yang ditawarkan sekitar RM200
hingga RM300 bagi setiap perlawanan dianggap cukup lumayan untuk menampung kos
sara hidup pemain-pemain skuad itu.
“Pemain-pemain tersebut
rata-ratanya masih muda iaitu berusia lingkungan awal 20-an. Jadi, mereka mudah
terpengaruh dengan gaya hidup zaman sekarang.
“Mereka dikatakan
terpaksa menerima imbuhan itu kerana perlu menjaga penampilan mereka selain
untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya ketika ditemui di
sini hari ini.
Semalam, bekas ketua
jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan didakwa di Mahkamah Sesyen
Seremban atas 21 tuduhan memberi rasuah sebanyak RM24,900 kepada pemain skuad
berkenaan bertujuan mengatur keputusan satu perlawanan merebut piala tersebut
pada April lalu.
Ini merupakan kes
pertama jurulatih bola sepak di negara ini didakwa di mahkamah atas tuduhan
rasuah. Selain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, turut disiasat ketika ini
adalah skuad Piala Presiden dari Terengganu, T-Team.
Pemberian imbuhan atau
elaun kebiasaannya disumbangkan oleh kerajaan negeri dalam bentuk rumah, tanah
atau wang tunai untuk skuad bola sepak Liga Super. Bagaimanapun, ia tidak
melibatkan skuad bola sepak Piala Presiden.
Sumber itu berkata,
kelemahan-kelemahan itu pula telah dijadikan satu peluang bagi pihak yang tidak
bertanggungjawab untuk ‘membeli’ perlawanan mereka.
Sehubungan itu, pihak
terbabit dicadangkan untuk mengkaji semula dasar pemberian gaji yang
diperuntukkan bagi setiap pemain termasuk skuad pelapis dalam Piala Presiden
mereka bagi mengelak kejadian serupa berlaku pada masa akan datang.
Sementara itu,
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad
ketika dihubungi hari ini berkata, jumlah gaji dan sebarang pemberian elaun
atau imbuhan ditetapkan oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing.
“FAM tidak campur
tangan, keputusan jumlah gaji, elaun atau imbuhan ditetapkan sendiri persatuan
masing-masing.
“Tiada sebarang garis
panduan ditetapkan untuk persatuan negeri masing-masing bagi menentukan jumlah
gaji yang diberi kepada pemain mereka,” katanya.
Sumber : Utusan Online
No comments:
Post a Comment